Monday, July 19, 2010

Kutipan Derma Ikhlas






Pihak sekolah dengan prihatin telah mengutip derma di kalangan guru, kaki tangan sekolah dan murid bagi dua orang murid yang berpenyakit kritikal, iaitu adik Low Rong Hao ( SJKC Chiau Min, Batu Pahat ) yang menghidap penyakit leukemia dan adik Kingsley Toh Ting Hui ( SK Taman Indahpura 2, Kulaijaya ) yang berada dalam keadaan koma. Kedua-dua murid tersebut memerlukan perbelanjaan perubatan yang besar. Pada masa yang sama, kutipan derma juga dijalankan untuk Hari Bendera Sekolah Kanak-kanak Istimewa, Johor Bahru dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA). MAKNA menjalankan Kempen Kutip Syiling ( kempen 5, 10, 20, dan 50 sen ) 2010 bagi membantu pesakit kanser. Jumlah kutipan derma untuk adik Low Rong Hao ialah RM1110.00. Adik Kingsley Toh Ting Hui juga mendapat kutipan derma berjumlah RM 1110.00. Sekolah Kanak-kanak Istimewa mendapat kutipan derma sebanyak RM459.00 manakala kutipan derma untuk MAKNA ialah RM571.00.

Tuesday, July 13, 2010

Program Kem Motivasi 2010



















Program Kem Motivasi 2010 telah diadakan pada 10 Julai 2010, di dewan sekolah. Seramai 290 orang murid telah menyertai kem tersebut. Program ini bermula pada 7.30 pagi dan tamat pada 4.00 petang. Program ini dirancang dan dikendalikan oleh guru bimbingan dan kaunseling sekolah, Puan Lee Bee Hwa. Penyelia-penyelia kelas Tahun 6 turut membantu untuk menjayakan program tersebut. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan. Antaranya permainan tradisional, nyanyian, lagu dan bahasa isyarat, dan pertandingan slogan. Selain itu, ceramah motivasi yang menarik telah disampaikan oleh Encik Chia Shen Thye dari Persatuan Penjagaan Komuniti Agape Malaysia. Di samping menyampaikan ceramah, beliau juga menjalankan aktiviti-aktiviti membina jati diri murid-murid. Beliau dibantu oleh 5 orang pekerja sosial. Sempena kem motivasi, program akujanji untuk guru, ibu bapa dan murid-murid Tahun 6 telah dijalankan. Pengerusi PIBG, Encik Lim Onn Jing, Guru Besar Puan Soo Seow Yong dan guru-guru penolong kanan menjadi saksi dalam Program Akujanji. Ketiga-tiga pihak telah berikrar dengan sehati sejiwa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR 2010.

Friday, July 9, 2010

Ceramah Kecemerlangan Akademik Bahasa Malaysia 2010







Ketua Panitia Bahasa Malaysia, Puan Low Poh Hwey telah mengambil inisiatif mengadakan Ceramah Kecemerlangan Akademik untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia pada 9 Julai 2010. Ceramah ini diadakan di dewan sekolah. Penceramah yang dijemput ialah Puan Norhayati Eng Abdullah. Beliau bukan sahaja kaya dengan ilmu malah juga amat berpengalaman dalam mata pelajaran ini. Beliau telah berkongsi ilmu dan teknik menjawab soalan Kertas I dan Kertas II Bahasa Malaysia dengan 290 orang murid yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada September 2010. Selain bakal calon UPSR 2010, guru-guru yang berminat juga turut hadir. Respon murid amat menggalakkan. Semoga ilmu yang dicurahkan dapat diaplikasikan dengan sepenuhnya dan membawa manfaat kepada yang hadir.

Thursday, July 8, 2010

Karnival Sains & Teknologi Sekolah Rendah Daerah Kulai Tahun 2010




Syabas diucapkan kepada adik Yong Jia Jie dan adik Tan Jia Xin kerana berjaya mendapat tempat ke-3 dalam Pertandingan Saintis Muda untuk murid-murid Tahap II. Syabas juga diucapkan kepada adik Tan Shao Yet yang berjaya mendapat tempat ke-4 dalam Pertandingan Bercerita Sains ( Bahasa Inggeris ) untuk murid-murid Tahap I. Kedua-dua pertandingan tersebut diadakan sempena Karnival Sains dan Teknologi Sekolah Rendah Daerah Kulai pada 26 Jun 2010. Guru-guru pembimbing ialah Pn.Tan Bee Chu, Cik.Tan Lee Nooi, Pn.Toh Fuay Mian, Pn.Chiew Sin Yeng dan En.Teng Xue Zheng.

Syabas, pasukan bola tampar !



Tahniah diucapkan kepada adik Char Hui Shan, murid 6G yang telah mendapat Johan bagi Kategori Perempuan 12 dalam Kejohanan Bola Tampar MSSM. Sebelum dipilih sebagai pemain pasukan negeri Johor, adik Char dan wakil-wakil sekolah yang lain telah mencatat rekod terbaik untuk sekolah, iaitu Johan P12 peringkat MSSD dan tempat ke-4 peringkat MSSJ. Jurulatih pasukan sekolah ialah Encik Lim Yuh Woei.

Saturday, July 3, 2010

‘Roadshow’ Permainan Catur






‘Roadshow’ Permainan Catur
Untuk memberi pendedahan kepada para ibu bapa dan murid-murid terhadap permainan catur, pihak sekolah telah mengadakan “Roadshow” sempena Hari Terbuka Sekolah pada 2 Julai 2010 (Hari Jumaat). “Roadshow”tersebut diadakan di dewan sekolah. Maklumat-maklumat yang dipamerkan ialah kemahiran asas permainan catur, keseronokan bermain catur, faedah bermain catur, dan kejayaan murid dalam bidang ini di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan. Diharapkan “Roadshow” tersebut dapat memberi pendedahan kepada murid-murid di samping memupuk minat mereka dalam bidang ini.

Hari Terbuka Sekolah 2010















Hari Terbuka Sekolah
Hari Terbuka Sekolah telah diadakan pada 2 Julai 2010. Kehadiran ibu bapa pada hari tersebut amat menggalakkan. Fenomena ini telah menunjukkan kesedaran ibu bapa akan kepentingan mengambil berat pelajaran dan kelakuan anak-anak mereka di sekolah. Kehadiran ibu bapa ke sekolah pada hari terbuka sekolah penting kerana anak-anak mereka dapat merasai kasih sayang ibu bapa terhadap mereka. Tambahan pula, inilah satu-satunya peluang bagi ibu bapa berinteraksi dengan guru demi manfaat anak-anak mereka. Sempena hari terbuka sekolah, pameran buku, pameran kamus elektronik Apple Tree, pameran pelaburan untuk masa depan kanak-kanak dan ‘Roadshow’ permainan catur telah diadakan.

Hari Guru 2010















Hari Guru 2010
Hari Guru telah diadakan pada 17 Mei 2010. Upacara Hari Guru dijalankan seperti biasa. Guru Besar, Puan Soo Seow Yong telah merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua guru atas kerjasama dan sumbangan mereka kepada sekolah. Beliau juga memuji kesungguhan dan sikap dedikasi guru-guru sekolah ini semasa menjalankan tugas masing-masing. Pengerusi PIBG, Encik Lim Onn Jing dan pengerusi Jemaah Pengurus, Encik Cheng Shiaw Swie PIS,JP juga melafazkan ucapan terima kasih kepada semua guru. Mereka menyeru kepada murid-murid supaya berkelakuan baik dan menghormati guru-guru pada setiap masa. Mereka juga mengingatkan murid-murid supaya jangan lupakan jasa guru kepada mereka. Pada waktu malam, majlis makan malam untuk guru-guru dan kaki tangan sekolah telah diadakan oleh PIBG sekolah sebagai tanda penghargaan.